Wednesday, August 12, 2009

Tusukan kena paru-paru...

KUALA LUMPUR: Hanya kerana wang RM60, seorang pelajar hampir kehilangan nyawa apabila dirodok dengan pisau Rambo di rusuk kiri sehingga terkena paru-paru angkara dua penjenayah jalanan yang merompaknya ketika melalui jejantas di kawasan stesen monorel Dang Wangi di sini, kelmarin.

Lebih malang apabila pelajar berusia 20 tahun itu yang diserang di kawasan awam tidak dipedulikan orang ramai walaupun berulang kali menjerit meminta tolong dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah.

Ng See Hoe, pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diselamatkan anggota polis yang tiba di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Nyawa mangsa diselamatkan selepas menjalani pembedahan bagi menghentikan pendarahan selain menjahit semula luka tikaman berkenaan.
Ng yang ditemui ketika masih dalam keadaan lemah di HKL semalam, memberitahu dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin, dia dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sesi temu duga untuk memohon biasiswa bagi menyambung pelajaran di UKM.
“Saya berhasrat pulang menghadiri kuliah dengan menaiki LRT, tapi tersesat di Stesen Dang Wangi. Berikutan itu, saya segera turun di stesen berkenaan dan bercadang mencari stesen monorel terdekat untuk pulang ke kampus.

“Ketika melintas jejantas, tiba-tiba muncul dua lelaki yang saya perasaan dalam keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, saya tidak peduli kerana mahu segera tiba di kampus,” katanya.

Menurut Ng, firasat buruknya menjadi kenyataan apabila kedua-dua lelaki terbabit tiba-tiba menghampirinya sebelum seorang daripada mereka memaksanya menyerahkan wang.

“Seorang daripada mereka terus mengeluarkan pisau Rambo dan cuba menikam saya dari arah hadapan. Namun, dalam keadaan cemas saya terus menepis dan menggenggam mata pisau berkenaan dengan tangan kanan bagi mengelak dia menikam tubuh saya.

“Dalam keadaan kesakitan dan tangan berlumuran darah, seorang lagi lelaki merampas dompet berisi wang RM60 dan telefon bimbit saya sebelum kedua-dua penjenayah berusia 20-an itu melarikan diri,” katanya.

Menurut pelajar itu, dalam keadaan kesakitan, dia mengejar penjenayah terbabit sebelum membaling beg sandangnya ke arah seorang daripada mereka.

“Bagaimanapun, lelaki itu yang bersenjatakan pisau Rambo berpaling dan meluru ke arah saya lalu menikam rusuk kiri.

“Saya hanya mampu menjerit kesakitan sebelum tersungkur berlumuran darah. Ketika itu saya menjerit ‘Perompak! Perompak!...’, namun beberapa orang awam yang melalui jejantas itu enggan memberikan bantuan,” katanya.

Ng berkata, nasibnya baik apabila selang beberapa minit kemudian sepasang kekasih yang melalui kawasan jejantas berkenaan bersimpati dan membantunya dengan menghubungi abangnya serta talian kecemasan (999).

“Saya tidak sedarkan diri dan hanya mengetahui dibawa ke Wad Kecemasan HKL dengan menaiki ambulans. Difahamkan, anggota polis peronda yang tiba ke lokasi kejadian segera menghubungi HKL sebaik mendapati keadaan saya yang kritikal ketika itu.

“Saya kemudian menjalani pembedahan. Keadaan saya kini stabil dan amat berterima kasih kepada doktor serta kakitangan hospital yang bertungkus-lumus menyelamatkan saya,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Ng See Fai, 25, membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung kejadian rompakan berkenaan yang turut menyebabkan telefon bimbit adiknya bernilai RM350 dilarikan penjenayah.

“Saya terlalu sayangkan dia (See Hoe) kerana kami hanya dua beradik selain dia penghibur serta seorang yang bijak dalam akademik.

“Saya puji sifat kentalnya walaupun dalam keadaan lemah dia masih boleh bergurau dan bersemangat untuk kembali memulakan sesi pelajarannya di UKM,” katanya.

SUMBER : MY METRO

~ takziah buat William ( nama samaran Ng ) yang juga merrupakan rakan satu jabatan di kampus ( Dietetik )
~ berita ini amat mengejutkan kami sbg coursematenya..dia memang seorang yang ceria dan aktif di dalam kelas
~ semoga William cepat sembuh dan diberikan kekuatan utk menghadiri kelas selepas sihat

p/s : berhati-hatilah walau di mana kita berada..tak kira lelaki atau perempuan..dunia kini macam2 boleh jadi..beringatlah sebelum terlambat!!!

Take care ourself, Take care our pride, Take care our iman =)

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More