Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya
Salam buat semua.
Pertama-tamanya, syukur alhamdulillah masih diberikan nafas untuk hidup di bumi Allah ini. Juga nikmat terbesar di dalam hidup,iaitu Iman dan Islam. Walaupun agak terlambat, saya ucapkan SELAMAT HARI IBU dan SELAMAT HARI GURU buat semua ibu dan guru di dunia ini, terutamanya ibu saya dan guru-guru saya. Tanpa mereka,siapalah diri ini.
Cerita 1
" tengoklah ni, seksanya tok "
Dia seorang ibu, juga seorang nenek. Dulu segalanya dia mampu buat dengan kudrat yang ada. Kini, dia hilang kemampuan itu. Hampir 6 tahun nikmat yang Allah kurniakan itu ditarik balik. Dia masih mampu berdiri,namun memerlukan sokongan seperti meja atau tongkat. Dia sudah tidak mampu berdiri dengan kaki sendiri. Kaki menjadi lemah kerana lutut yang lemah. Dek kerana itu,solatnya dalam keadaan duduk.
Dulu-dulu, dia yang jaga saya, dia jaga kakak saya. Dia jaga makan minum saya semasa saya ditinggalkan kepadanya hampir dua bulan.Dia juga menjaga ibu saya semasa adik dilahirkan. Kesihatan yang baik waktu itu membolehkannya berkhidmat kepada kami. Kami bertiga adalah cucu yang pertama,kedua dan ketiga dilahirkan, maka kami sempat merasa hasil tangannya menjaga kami.
Dia sentiasa menceritakan kisah kami sewaktu kecil. Dia masih ingat semuanya. Katanya, saya manja masa kecil. Manja dengannya, mungkin kerana tinggal bersama dengannya agak lama. Hubungan itu menjadi erat dan rapat. Apabila diceritakan, saya hanya mampu tersenyum kerana itu semua tak mampu saya ingat, lupa kerenah sewaktu kanak-kanak.Lucu juga apabila tahu. Adik pula bukan main perli-memerli.
Katanya lagi, saya punyai ramai pengasuh. Selalu bertukar orang. Sampai kini, hanya seorang pengasuh yang saya ingat sebab tinggal sekampung. Pengasuh lain dah tak pernah jumpa apabila makin membesar. Sungguh ramai yang berbudi dan berbakti kepada saya. Apa yang mampu saya buat ialah mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup mereka di dunia dan di akhirat.
Dia selalu menghulurkan duit kepada saya setiap kali saya bertemu dengannya. Duit untuk perbelanjaan harian di tempat belajar. Kadang-kadang rasa segan itu ada, tapi rezeki tak boleh ditolak. Duit yang ada digunakan dengan sebaik-baiknya. Bukan saya sahaja, malah cucu-cucu lain juga dihulurkan duit. Apabila hari raya, semua cucu dapat duit raya walaupun sudah bekerja. Dah besar panjang pun dapat duit lagi ^_^
Kini, tiba masa saya untuk menjaga. Disebabkan pasangannya telah menemui Ilahi hampir 5 tahun yang lalu, dia tinggal bersendirian. Kami yang tinggal dekat ini bergilir-gilir menemaninya setiap malam. Kini, dia tinggal di rumah anaknya, merangkap bapa dan ibu saudara saya. Kadang-kadang dia tinggal di rumah kami.
Tiba masa untuk saya pula menjaganya, berbakti kepadanya. Walaupun apa yang dibuat hanyalah perkara remeh, saya rasa bersyukur kerana diberi kesempatan melakukannya, sebagai balasan kepadanya yang menjaga saya dulu-dulu.
Kata orang, jika kita berbuat baik kepada orang lain, kelak kita akan mendapat kebaikan.
Kata orang lagi, jika seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya, kelak anak-anaknya akan berbuat baik kepadanya.