Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya
Salam buat semua.
Pertama-tamanya, syukur alhamdulillah masih diberikan nafas untuk hidup di bumi Allah ini. Juga nikmat terbesar di dalam hidup,iaitu Iman dan Islam. Walaupun agak terlambat, saya ucapkan SELAMAT HARI IBU dan SELAMAT HARI GURU buat semua ibu dan guru di dunia ini, terutamanya ibu saya dan guru-guru saya. Tanpa mereka,siapalah diri ini.
Cerita 1
" tengoklah ni, seksanya tok "
Dia seorang ibu, juga seorang nenek. Dulu segalanya dia mampu buat dengan kudrat yang ada. Kini, dia hilang kemampuan itu. Hampir 6 tahun nikmat yang Allah kurniakan itu ditarik balik. Dia masih mampu berdiri,namun memerlukan sokongan seperti meja atau tongkat. Dia sudah tidak mampu berdiri dengan kaki sendiri. Kaki menjadi lemah kerana lutut yang lemah. Dek kerana itu,solatnya dalam keadaan duduk.
Dulu-dulu, dia yang jaga saya, dia jaga kakak saya. Dia jaga makan minum saya semasa saya ditinggalkan kepadanya hampir dua bulan.Dia juga menjaga ibu saya semasa adik dilahirkan. Kesihatan yang baik waktu itu membolehkannya berkhidmat kepada kami. Kami bertiga adalah cucu yang pertama,kedua dan ketiga dilahirkan, maka kami sempat merasa hasil tangannya menjaga kami.
Dia sentiasa menceritakan kisah kami sewaktu kecil. Dia masih ingat semuanya. Katanya, saya manja masa kecil. Manja dengannya, mungkin kerana tinggal bersama dengannya agak lama. Hubungan itu menjadi erat dan rapat. Apabila diceritakan, saya hanya mampu tersenyum kerana itu semua tak mampu saya ingat, lupa kerenah sewaktu kanak-kanak.Lucu juga apabila tahu. Adik pula bukan main perli-memerli.
Katanya lagi, saya punyai ramai pengasuh. Selalu bertukar orang. Sampai kini, hanya seorang pengasuh yang saya ingat sebab tinggal sekampung. Pengasuh lain dah tak pernah jumpa apabila makin membesar. Sungguh ramai yang berbudi dan berbakti kepada saya. Apa yang mampu saya buat ialah mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup mereka di dunia dan di akhirat.
Dia selalu menghulurkan duit kepada saya setiap kali saya bertemu dengannya. Duit untuk perbelanjaan harian di tempat belajar. Kadang-kadang rasa segan itu ada, tapi rezeki tak boleh ditolak. Duit yang ada digunakan dengan sebaik-baiknya. Bukan saya sahaja, malah cucu-cucu lain juga dihulurkan duit. Apabila hari raya, semua cucu dapat duit raya walaupun sudah bekerja. Dah besar panjang pun dapat duit lagi ^_^
Kini, tiba masa saya untuk menjaga. Disebabkan pasangannya telah menemui Ilahi hampir 5 tahun yang lalu, dia tinggal bersendirian. Kami yang tinggal dekat ini bergilir-gilir menemaninya setiap malam. Kini, dia tinggal di rumah anaknya, merangkap bapa dan ibu saudara saya. Kadang-kadang dia tinggal di rumah kami.
Tiba masa untuk saya pula menjaganya, berbakti kepadanya. Walaupun apa yang dibuat hanyalah perkara remeh, saya rasa bersyukur kerana diberi kesempatan melakukannya, sebagai balasan kepadanya yang menjaga saya dulu-dulu.
Kata orang, jika kita berbuat baik kepada orang lain, kelak kita akan mendapat kebaikan.
Kata orang lagi, jika seorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya, kelak anak-anaknya akan berbuat baik kepadanya.
Kerana Allah itu Maha Adil.
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa.
Usah disalahkan takdir andai anak-anak kita kelak tidak berbuat baik kepada kita, tetapi ingatlah kembali apa yang telah kita buat kepada ibu bapa kita.
Bukan sahaja berbuat baik, malah juga melakukan apa sahaja yang tidak akan membawa mereka ke 'tempat' itu. Jika kita sayangkan mereka, berusahalah mengisi kehidupan yang membawa jalan bahagia, menuju syurga hakiki.
Semakin mereka meniti usia, jiwa akan kembali menjadi seperti zaman muda-muda,zaman kanak-kanak. Mudah tersentuh, mudah berkecil hati walaupun hanya perkara yang kecil. Siapa lagi yang boleh menjaga hati mereka jika bukan diri kita sendiri sebagai darah daging mereka. Anak yang derhaka tidak akan dapat mencium bau syurga. Cium pun dah tak dapat, apa lagi nak menjejakkan kaki ke sana.
Semua orang nak syurga Allah. Namun, mampukan kita menggapainya?
Tiada guna jika kita rajin beribadat, rajin mengikuti kuliah agama sekiranya ibu bapa diabaikan. Ibu bapa tidak dihiraukan. Pasti kecil hati mereka. Ada satu buku yang dibaca, di mana ia mengatakan ramai anak yang menjadi derhaka disebabkan oleh isteri. Apabila beristeri, ibu bapa tidak diendahkan. Isterilah segala-galanya. Wahai anak yang bergelar lelaki, tanggungjawab anda kepada ibu bapa tidak akan putus walaupun sudah berumah tangga dan beranak pinak. Ibu bapa yang dikenali dahulu sebelum isteri.
Wahai anak yang bergelar wanita, usahlah anda menjadi penyebab suami menjadi anak derhaka. Ingatlah akan kewajipan suamimu kepada ibu bapanya. Jangan kerana semua yang diinginkan, suami anda mengabaikan mereka. Suami yang asalnya adalah anak yang soleh bertukar menjadi anak yang kurang soleh selepas menemui anda. Ingatkah kita pada kisah Alqamah yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana mengecilkan hati ibunya? Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar.
Maaf kerana penulisan ini seperti sudah melencong sedikit.
Semoga kita semua mendapat kerahmatanNYA sentiasa.
Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Wassalam.
1 comments:
update juga. wink wink ***
Post a Comment