Wednesday, April 13, 2011

are you ready?

Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya

Sudah lumrah kehidupan, hidup ini dipenuhi dengan ujian. Ujian kecil atau besar, senang atau susah. Apabila tiba musim peperiksaan, semua bersiap siaga fizikal dan mental.  Masa dimanfaatkan sepenuhnya, buku-buku ditatap dengan rela. Sanggup bersengkang mata di tengah-tengah malam, mengambil ‘stimulant’ yang boleh menyegarkan mata. Masa tidur dikorbankan demi perjuangan di medan peperiksaan. Nota bertimbun yang jarang disentuh dahulu kini menjadi teman setia. Kita penuh bersedia  untuk menghadapi ujian dunia ini. Berusaha, berdoa dan bertawakkal. Harapan sepenuhnya disandarkan kepada Ilahi.


Di sebalik kesibukan bersedia untuk ujian dunia, bagaimana persediaan untuk akhirat? Persediaan mental, spiritual dan segala-galanya sebelum dijemput pulang oleh Sang Pencipta. Sanggupkah kita mengorbankan sedikit masa tidur di tengah malam untukNYA? Berapa banyak masa yang kita luangkan untuknya dalam sehari? Sudah pasti 5 kali waktu itu kita menghadapNYA. Jika dihitung 10 minit bagi setiap waktu, masa yang diperuntukkan ialah 50 minit. Hanya 3.47% sehari masa kita bercakap dengan Yang Esa. Sama ada sukarela atau terpaksa. Di mana pula waktu lain? Ke mana ia dihabiskan?




Andai kita gagal di dalam ujian dunia, atau mendapat keputusan yang tidak memuaskan,kita masih punyai peluang untuk membaiki diri di masa akan datang. Mengambil semula ujian itu, mengubah gaya belajar, belajar bersungguh-sungguh dan berusaha sedaya upaya agar lebih cemerlang di dalam peperiksaan seterusnya. Kita masih boleh mengubahnya, untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan hati.

Namun, andai tibanya masa kita dijemput oleh malaikat yang sentiasa setia di sisi kita, sudah tiada peluang untuk kita kembali mengubah diri kita. Tidak akan kembali semula ke dunia untuk menebus doa-dosa kita, menambah amalan-amalan soleh, memenuhkan buku catatan amalan oleh malaikat Rakib. Masa itu sudah tamat. Tiba di garisan penamat, maka putuslah segala-galanya. Masa itu nak menyesal pun sudah tiada gunanya. Diri akan menghadapi alam lain pula. Segala persediaan semasa di dunia akan menjadi penyelamat semasa di akhirat.  

Kita hanya bersedia sepenuh jiwa raga bila mengetahui tarikh ujian di dunia. Oleh itu, persediaan untuk hari keramat itu mestilah lebih diutamakan kerana tiada siapa pun yang tahu bila nyawanya akan diambil, hanya tahu bahawa kematian itu sesuatu yang pasti berlaku.  Utamakan urusan akhirat, dunia akan sama-sama mengiringi kita. Cukupkan urusan akhirat, Allah akan cukupkan urusan kita di dunia.


Teringat kata-kata seorang junior,
" Kita ini milik Allah. Segala-galanya pada diri kita adalah milik Allah. Sebanyak mana pun usaha kita untuk menghadapi peperiksaan, jika Allah tak mengizinkan untuk kita dapat menjawab dengan baik, maka kita tak akan dapat jawab dengan baik. Kerana Allah yang mengatur diri kita. Allah yang mengawal diri kita "


Ilham itu milik Allah. Jika Allah datangkan ilham kepada kita semasa ujian, pasti lancar sahaja kita jawab semua soalan.  Jika ilham itu tiada, cubalah sebaik mungkin, dan bertawakkallah kepadaNYA. Ada hikmah di sebaliknya kenapa adakala kita boleh jawab, adakala kita tak boleh jawab. Diuji lagi di dalam ujian. Oleh itu, usah berputus asa dengan rahmat Allah. Hanya Allah yang tahu apa yang kita tidak tahu, apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA.

Bersedialah secukupnya di dunia untuk menghadapi akhirat. Dunia tempat menanam benih, akhirat itu tempat tuaiannya.
Muhasabah diri sendiri.


* tiap kali berhadapan ujian dunia itu, diri diuji lagi. indahnya hidup dipenuhi ujian :)
                                           

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More