Thursday, March 5, 2015

Manusia, Jagalah Kata-Kata

Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya



Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Allah izinkan lagi aku bernafas dan bernyawa di muka bumi milik Allah ini. Setiap hela nafas dan degup jantung kita itu milik Allah. Terasa seperti ingin mencoret di blog ini, mungkin untuk mengisi masa yang terluang sementara waktu.

Awal bulan lepas kita dikejutkan dengan pemergian 'ulama yang sangat dikenali dunia, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Al-Fatihah untuk arwah Tok Guru, moga damailah di sana dan sudah tiba masa Tok Guru berehat selama-lamanya, moga sentiasa dinaungi rahmat olehNYA. Sungguh sedikit merasai pemergian insan mulia ini biarpun tidak pernah bersua muka. 

Siapa percaya bahawa hidup kita ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh manusia, yakni kata-kata manusia? Ya, memang bisikan-bisikan halus yang negatif itu sentiasa mengganggu kita untuk kita melakukan perkara yang tidak disukai Allah, namun memang itu tugas mereka untuk menyesatkan anak adam di dunia ini. Cuba lihat sudah berapa ramai anak adam yang jatuh tersungkur hanyut lalai di dunia? Moga kita tidak tergolong dan berdoalah semoga Allah sentiasa memelihara kita di sini.

Kenapa kata-kata manusia yang aku ingin rungkaikan di sini? Selagi kita hidup, selagi itulah kita akan sentiasa mendengar kata-kata manusia sama ada positif atau negatif. Bersyukur kerna punyai telinga dan mampu untuk mendengar. Bahkan kadang-kadang walau kita sudah tiada di bumi sekalipun, manusia masih bercakap tentang kita. Itulah realiti kehidupan sebenarnya. Begitu banyak kata-kata yang mempengaruhi hidup kita.

Aku terpanggil untuk bercakap tentang ini kerna aku juga seperti mereka. Manusia yang lemah hina dina lagi dhaif dan kerdil di bumi milik Allah ini. Beberapa minggu lalu, sahabatku yang aku sayangi dunia akhirat menghubungiku setelah lama dia mendiamkan diri. Kami chatting di muka buku itu. Sebelum ini ada juga SMS dia, namun tak pernah dia membalasnya, lalu aku biarkan saja. Biarkan dia ruang untuk tenang. Aku rindukan dia yang seorang periang dan boleh menghiburkan hati kami semasa belajar dahulu. Dia mengadu kepadaku sangat tertekan kerana belum mendapat pekerjaan. Bertambah kecewa apabila gagal dalam temuduga yang diberikan sepenuh harapan. Dah cari macam-macam kerja tapi tak dapat. Katanya macam menyusahkan mak ayah je sebab dah lama menganggur. Yang paling aku terkejut bila katanya dia hampir dibawa untuk ke psikiatri sebab terlalu stress. Dia kata berhari-hari dia tidak keluar bilik. Dia kata dia tak mampu dan malas nak keluar rumah kerana orang sekeliling asyik bertanyakan soalan yang sama, "kerja apa? belum kerja ke? tak cari kerja ke?  Jadi, dah tentu dia rasa down dan lemah semangat. Aku pun dengan yakinnya memberikan kata-kata semangat, sedangkan aku juga begitu kadang-kadang, hehe

Kekadang aku cuba memahami kenapa manusia suka bertanyakan soalan yang di luar kuasa dan kemampuan manusia. Kenapa asyik bertanyakan soalan yang bukan manusia tentukan. Bukankah manusia itu beriman kepada qada' dan qadar? Bertanyakan perihal rezeki, jodoh, kerja dan sebagainya. Manusia itu sudah pasti sudah berusaha sebaik mungkin namun Allah belum memakbulkan permintaannya. Bagaimana manusia itu boleh hidup dengan tenang seandainya asyik diasak dengan soalan sama bertalu-talu? Hinggakan ada yang tak mahu pulang ke kampung sebab orang selalu tanya soalan yang sama.
Kerja apa? Bila nak kahwin? Kenapa kerja jauh sangat? Bila nak ada anak? Bila nak dapat menantu? Bila nak dapat cucu?
Hanya satu soalan yang orang takkan tanya, "bila nak meninggal?". Kan?
Jika kita berpeluang mendapat apa sahaja yang dihajati, tak perlulah asyik bertanyakan orang lain yang belum merasainya. Dan jika manusia itu belum pernah mendapatnya, lagilah tak layak untuk bertanyakan soalan itu. Mungkin ada sesetengah orang menganggap bertanya soalan ala kadar dan gurauan, namun jauh di sudut hati si pendengar itu ibarat batu menghempap kepala dan duri menikam kalbu. Kita sudah buat orang lain bersedih dan berkecil hati dengan kita. Dengan kata-kata kita, mereka yang mendapat pahala kerana bersabar dengan ragam manusia ini. Doakanlah mereka.

Jika zaman dahulu kala rasanya tak ada sangat virus ini, namun sekarang dengan lambakan media sosial, manusia bisa menjadi lemah begitu sahaja. Dengan hanya menggunakan keyboard warrior dan menulis satu ayat, kita mampu melemahkan jiwa orang lain, melukakan orang lain tanpa kita sedari. Ya, mungkin kita ingin berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan atas segala nikmat yang kita rasai namun cubalah bersikap empati, letakkan diri kita pada tempat orang lain.
Berapa ramai manusia yang tak dapat sambung belajar?
Berapa ramai manusia yang tak dapat kerja best? Kerja yang stabil?
Berapa ramai manusia yang hidup susah, tiada kereta, tiada rumah yang selesa?
Berapa ramai manusia yang belum bertemu jodoh?
Berapa ramai manusia yang belum dikurniakan anak?
Begitu banyak persoalan berkaitan rezeki yang di luar kawalan manusia. Namun, hanya Allah yang tahu jawapannya. 

Manusia, usah mendabik dada dan berbangga dengan segala apa yang kita ada dan apabila kita sudah punyainya, janganlah kita memandang rendah kepada mereka yang masih tiada. Semua itu rezeki Allah milik Allah. Sekelip mata sahaja Allah mampu menariknya kembali. Cubalah menjadi sensitif terhadap masyarakat setempat. Jaga hati orang lain, inshaAllah orang akan jaga kita. Berdoa semoga Allah sentiasa memelihara lidah dan kata-kata kita. Sebab itu Imam Al-Ghazali berkata yang paling tajam di dunia ini ialah lidah. Tepat sekali!

Berfikirlah sebaiknya sebelum kita nak berkata-kata itu, baik secara lisan atau tidak lisan, di dunia nyata atau pun alam maya. Tapis dahulu kata-kata kita dengan teliti. Seandainya hal itu yang menimpa diri kita, barulah kita akan menyedarinya. Marilah kita pelihara seluruh anggota badan yang Allah pinjamkan ini dengan baik sehingga akhir nafas kita.

Beristighfarlah semoga Allah mengampunkan segala dosa sepanjang hayat kita. Ameen


Allah sentiasa bersama kita. Be strong, ok?


Wallahu'alam

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More