Friday, February 12, 2010

makanan hati

Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya




Salam rahmatNYA buat semua. Seminggu diberikan 'pause' untuk ke kuliah, hanya berkuliah sendiri di dalam bilik dan diluahkan semua di dewan peperiksaan..walaupun sebenarnya tak semua dapat dihamburkan kerana tak semua dapat dihadam. Sungguh sukar untuk mengingati dan memahami apa yang dipelajari. Bila berhadapan dengan pelbagai soalan, otak seolah-olah blank. Pernahkah kalian mengalami situasi ini? Lain orang, lain pengalaman.

Hari itu, seorang sahabat saya berkata,'aku rasa hati aku gelap la, susah nak ingat bila baca, bila exam je lupa'
Saya selamba menjawab, " meh aku suluh, kasi terang sikit "
Situasinya seakan-akan sama sepertiku. Tidak pasti sama ada hati ini gelap atau tidak, namun daya ingatan dan pemahaman itu masih di tahap yang bawah. Mungkin tahap kritikal.Mungkin keadaan ini menimpa diri atas sebab dosa yang menggunung tinggi. Hanya Allah yang mengetahui segalanya.

Teringat pada satu tazkirah motivasi oleh seorang sahabat tersayang ,
Katanya, ada beberapa kawannya mengadu padanya bahawa mereka berasa hati mereka kosong. Dari sudut ilmiah mungkin tiada masalah, namun dari sudut rohaniah itu kurang sedikit. Mungkin terasa jauh dengan Allah, bukanlah melarikan diri daripadaNYA, tetapi perasaan itu yang muncul.
Sahabat berkongsi sedikit kata-kata semangat,
Cara yang baik ialah dengan mendekatkan diri pada ALLAH. Mungkin hati kita kosong sebab kita jauh daripadanya. Satu lagi ialah dengan mendengar atau menghadiri majlis ilmu, bukan ilmu dunia, tapi ilmu di akhirat. Sebabnya kita kena seimbang antara dunia dan akhirat. Jangan kerana terlalu sibuk belajar, menghadap buku yang tebal banyak inci hingga kita lupa memberi makan pada hati sendiri. Tidak kiralah bagaimana caranya, sama ada menyertai tazkirah di surau antara maghrib dan isyak ( seperti di kolej saya ), mendengar radio tentang kuliah agama, mendengar kuliah agama yang sangat banyak melalui internet, membaca artikel-artikel agama dan banyak lagi. 

Manusia itu pelupa kerana asas perkataan manusia itu ialah huruf nun, sin dan ya', yang mana bila digabungkan membawa maksud lupa dalam istilah arab. Hati juga mudah berbolak-bolak kerana iman yang boleh bertambah dan berkurang. Memang wajar hati kita diberi makan unsur rohaniah, bukan hanya perut yang diisi makan sebanyak tiga kali sehari. Malah, memberi makan pada hati tidak memerlukan belanja yang tinggi. Oleh sebab itu tazkirah atau kuliah itu seboleh-bolehnya kita luangkan masa yang ada untuknya untuk memberi peringatan kepada diri. Tazkirah, yang asalnya daripada huruf za, kaf dan ra' = zakara bermaksud ingat. Manusia dan tazkirah saling melengkapi. Apabila manusia lupa, leka dan alpa, unsur-unsur ilmu tazkirah atau kuliah itulah yang akan mengingatkan balik dan merangsang balik otak ini tentang diri kita. Kita sendiri yang perlu memaksa dan menggerakkan diri untuk membuka mata dan telinga sendiri. 
Peringatan dari sudut muzik juga boleh dijadikan peneman. Kita boleh mendengar alunan ayat-ayat Al-Quran dan lagu-lagu yang berunsur keagamaan. Ada lagu yang mempunyai mesej yang baik untuk kita jadikan pedoman. Tidak salah jika kita hanya mendengar lagu Inggeris untuk melancarkan percakapan kita dalam bahasa itu. Lagi bagus jika ditambah dengan halwa telinga yang boleh menenangkan jiwa. Kita yang perlu mendidik diri sendiri, bukan sahaja tugas ibu bapa, sanak-saudara dan seumpamanya. Didikan apa yang bakal kita wariskan kepada bakal generasi kita akan datang sekiranya diri sendiri tidak terdidik?
Ayuh wujudkan bi'ah solehah dalam diri masing-masing.

Emak pernah memberitahu kami begini tentang perbualannya dengan ayah,
kata ayah, " saya tak perlu dah ajar awak, saya dah beli cd agama tu, dengar dan ingat "
Kami hanya tersenyum sebab memang banyak cd agama yang ayah keluarkan duit untuk membelinya. CD kuliah agama oleh seorang ustaz, Ustaz Kazim Elias ( kalau tidak silap). Pertama kali saya mendengarnya, saya terus jatuh 'cinta'. Jatuh 'cinta' pada segala ilmu yang disampaikan. Gaya penyampaiannya menarik minat untuk mendengar lagi kerana diselitkan dengan sedikit unsur jenaka. Bukan saya sahaja terkena tempiasnya, malah kami semua sekeluarga. CD itu akan dipasang bila menaiki kereta, walaupun sudah mendengar tajuk kuliah yang sama beberapa kali. Kakak juga sering memasang CD agama apabila menaiki kereta. Adik pula kadang-kadang berceloteh pada kami, contohnya begini, ' ustaz Kazim kata...bla..bla..bla...'
Sungguh kuat penangan ustaz itu pada dirinya. Alhamdulillah, gaya didikan ayah memberi kesan yang mendalam kepada kami. Terima kasih ayah ^_^

" Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan "
( At-Tahrim : 6 )

sudut ilmiah :    kuliyyah agama    atau    koleksi kuliah agama
 

- yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan -

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More