Monday, February 1, 2010

KCB vs AAC

Berusahalah di dunia seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya,berusahalah untuk akhirat seakan-akan engkau akan mati esoknya

K.C.B  =  Ketika Cinta Bertasbih

Selama cuti berhari-hari, sempat saya khatamkan menonton movie itu, walaupun dah agak ketinggalan berbanding orang lain. Bagi saya, ada bezanya antara movie itu dengan Ayat-Ayat Cinta. Berbanding Ayat-Ayat Cinta, saya dan kakak berserta adik hanya memberi komen negatif sepanjang menonton cerita itu. Ada sedikit perbezaan antara cerita itu dengan novel yang telah dipasarkan. Namun, bagi KCB itu saya hanya mendiamkan diri sepanjang menghabiskannya kerana saya belum khatam novelnya. Kakak beritahu bahawa movie itu sama seperti penceritaan dalam novel. Kedua-duanya ada pros dan cons masing-masing. KCB lebih islamik berbanding AAC, malah sejuk hati melihat watak-watak di dalamnya. Entah bila negara kita akan keluarkan cerita islamik sebegitu. Bukan hanya berlakon mengikut syariat kerana watak dan skrip, tetapi pelakon itu benar-benar berpenampilan sedemikian sama ada di dalam atau di luar lokasi penggambaran. Mungkin sudah ada cerita sebegitu di sini, mungkin saya terlepas pandang. Saya pun tak tahu pelakon-pelakon KCB tu semua memang sebegitu penampilan mereka, atau hanya mengikut arahan pengarah filem. Yang pasti, mereka menghadiri ujibakat terlebih dahulu sebelum menjalankan watak masing-masing dengan jayanya ^_^

Sekadar mencoretkan beberapa moral yang boleh diambil daripada filem KCB :

1. Jangan tidur selepas subuh kerana ia penghalang rezeki
  ~  Moral yang paling memberi kesan pada diri saya kerana menghempap kepala sendiri. Memang semua orang pun tahu kan tidur selepas subuh tu tak elok, tapi apabila ia menjadi tabiat kita, agak sukar untuk dikikis. Tambah-tambah lagi kalau hari cuti. Makin seronok menarik selimut menutup badan walaupun matahari dah keluar dan waktu dhuha dah nak habis. Dalam filem tu, automatik ibu Khairul Azzam menolak cadangan calon isteri yang diutarakan oleh adiknya kerana dia tidur selepas subuh, walaupun baru sekali dilakukan di hadapan ibunya.Kalau kita yang selalu buat macam tu berkali-kali, macam mana ye? Alamatnya tak ade la orang nak masuk meminang =P..Sama-samalah kita kurangkan amalan tidur selepas Subuh, juga tidur selepas Asar.

2.  Jangan terlalu tergesa-gesa kalau nak turun dari pengangkutan awam, bila dah tertinggal barang, kita juga yang susah
~ Ini moral yang dikongsi oleh kawan saya. Teringat pada watak Anna Alfathunnisa dan rakannya yang tertinggal buku-buku di dalam bas kerana nak keluar cepat. Tapi seingat saya mereka 'rushing' sebab nak kejar pencuri dompet itu (kalau tak silap la). Tambahan pengajaran, jaga barang berharga milik kita dengan baik. Kecurian boleh berlaku di mana-mana, even di rumah Allah sekalipun. Kalau hal tu dah memang ditakdirkan untuk berlaku, kita terima jela. Namun, kita boleh berwaspada selalu kan =)

3.  Jangan memandu kenderaan dengan laju, tak kiralah kereta, motor, lori, van, kontena dll
~  Babak yang menggerunkan apabila pemandu teksi tu memandu teksinya macam orang kurang siuman sebab nak kejar bas yang dua wanita tadi tertinggal buku. Habis dirempuhnya gerai-gerai di tepi jalan, malah menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Mujur tak kemalangan, dan akhirnya sempat jumpa bas itu.

4.  Jangan memandu semasa hujan lebat. Jalan licin, pemandangan kabur dan mengundang bahaya.
~  Khairul Azzam yang menunggang motornya, dan dibonceng oleh ibunya dalam keadaan hujan sangat lebat. Pada awalnya, saya menyangka mereka ditimpa kemalangan semasa perjalanan pergi ke rumah Pak Lutfi, namun mereka selamat. Lega dah masa tu. Rupa-rupanya, mereka kemalangan semasa perjalanan pulang ke rumah. Azzam cedera parah dan ibunya meninggal dunia. Patutlah ibunya beria-ia sangat nak jumpa Pak Lutfi walaupun hujan lebat, dah tiba masanya 'pergi'. Logik juga ye walaupun hanya rekaan semata-mata.

5.  Hormat pada ibu bapa dan orang yang lebih tua
~  Lakonan Khairul Azzam dan adik-adiknya yang sangat menghormati keputusan ibu mereka. Juga adik-adik Azzam yang menghormatinya. Vivi ( tunang Azzam) pula menghormati ibunya yang memintanya memutuskan pertunangan dengan Azzam kerana tidak sanggup menunggu terlalu lama. Jadi, kita pun dlm hidup ni haruslah hormat mak ayah dan orang-orang di sekeliling kita=D

6.  Mementingkan kebahagiaan orang lain = berkorban
~ Watak kawan Khairul Azzam yang memilih untuk tidak mengahwini wanita yang disukainya dan wanita itu menyukainya, tambahan pula wanita itu telah dilamar oleh seseorang yang agak dikenali ramai. Maka, dia lebih mengutamakan kebahagiaan lelaki itu berbanding dirinya. Kata Khairul Azzam, " dia akan melupakanmu setelah dia berkahwin dengan lelaki itu" ( kurang ingat skrip ). Begitu juga Khairul Azzam dan Anna Alfathunnisa yang secara diam mereka saling menyukai, namun keinginan itu diketepikan. Khairul Azzam menghormati kedudukan Anna yang telah dilamar oleh Furqan, manakala Anna pula menghormati Furqan  yang terlebih dahulu melamarnya.

7.  Kesabaran dan ketabahan membawa kebaikan
~ Sifat sabar yang ditonjolkan oleh Khairul Azzam dalam pencarian pasangan hidup. Kalau dilihat, ramai juga yang dia cari untuk dijadikan isteri,tetapi semua ada penghalang. Dia redha setelah mengetahui wanita yang ingin dilamarnya telah berkahwin dengan orang lain dan redha lagi apabila tunangnya sendiri mengahwini lelaki lain. Dia begitu pasrah dengan takdir yang telah ditentukan untuknya sehingga menyuruh Pak Lutfi mencarikan jodoh untuknya. Akhirnya, wanita yang dicintainya itulah yang menjadi pasangan hidupnya. Innallahama'assobirin. Selagi kita hidup bergantung kepada Allah, pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang berharga buat diri kita. Malah, mungkin sesuatu yang di luar jangkaan kita. Usah tergopoh-gapah, jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah di Loh Mahfuz itu akan menemui dirimu. Kuatkan perisai iman, lawan godaan syaitan. Jangan kerana terlalu cintakan si dia, kita sanggup curang padaNYA. Ingatlah bahawa si dia yang kita cintai itu merupakan hak milikNYA yang mutlak. Si dia takkan ada tanpa kurniaan DIA.

8.  Mencari suami soleh
~ Melihat watak-watak wanita di dalam cerita itu, semuanya inginkan suami soleh. "Dia mahu suami yang soleh, kuat agamanya, yang boleh bimbing dia". Biarpun belum kenal hati budi masing-masing, niat murni itu tetap dilaksanakan kerana telah menepati syarat yang diinginkan. Saya tahu masih ada keadaan sebegini yang berlaku di luar sana. Pelbagai cara yang dilakukan hingga bertemu jodoh masing-masing. Siapa yang tak nak suami soleh kan? At-toyyibat littoyyibin...Maka, untuk dapatkan pasangan yang soleh/solehah, kita soleh/solehahkan diri kita dulu. InsyaAllah, si dia pasti datang menemui kita ^_^


Sudah tak mampu ingat unsur pengajaran dalam cerita itu. Dah banyak 8 tu, dah boleh markah penuh kan..hehe..teringat pula subjek BM masa sekolah dulu..asyik menghafal tema, pengajaran dan sebagainya dalam cerpen dan novel. Sesiapa yang belum tengok filem KCB ni, silalah tengok jika ada masa. Buatlah penilaian sendiri. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

p/s  :  lagu tema KCB ~ nice song..i like it =D

Wallahu'alam   

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More